fb fb fb fb fb

Cape Verde hanya selangkah cipta sejarah mara ke Piala Dunia

FOTO FAIL REUTERS

TRIPOLI, 8 Oktober - Kepulauan Cape Verde kini hanya selangkah lagi untuk melakar sejarah mara ke Piala Dunia, sesuatu yang sukar dibayangkan dua dekad lalu.

Negara kepulauan kecil di barat Afrika dengan populasi sekitar 600,000 itu bakal menjadi negara kedua terkecil selepas Iceland yang berjaya layak ke kejohanan berprestij itu sekiranya menang dalam salah satu daripada dua baki perlawanan kelayakan minggu ini.

Cape Verde akan menentang Libya di tempat lawan hari ini sebelum berdepan Eswatini di laman sendiri pada Isnin depan, 13 Oktober bagi memastikan kedudukan teratas Kumpulan D sekali gus menewaskan pasukan pilihan, Cameroon, untuk slot automatik ke Piala Dunia tahun depan.

Pasukan itu sebelum ini hampir melakar sejarah pada kempen kelayakan Piala Dunia 2014 di Brazil, namun hasrat mereka tidak kesampaian selepas dipotong mata akibat menurunkan pemain yang digantung.

Dalam penampilan sulung di Piala Negara Afrika 2013, Cape Verde mara ke suku akhir dan mengulangi pencapaian sama di edisi terakhir di Ivory Coast, sebelum tersingkir menerusi sepakan penalti.

Dua puluh tahun lalu, pasukan itu hanya bermain purata dua perlawanan setahun sejak menyertai FIFA pada 1986 dan mula bersaing dalam kelayakan Piala Dunia pada 1990, ketika berada di ranking ke-182 dunia.

Kemajuan pesat Cape Verde didorong usaha aktif mencari pemain daripada komuniti diaspora di seluruh dunia. Skuad terkini menampilkan enam pemain kelahiran Belanda serta beberapa pemain kelahiran Portugal, Perancis dan Ireland.

Aksi menentang Libya di Tripoli dijangka sengit, namun sekiranya gagal, mereka tetap menjadi pilihan utama untuk mengesahkan tiket ke Piala Dunia apabila menentang Eswatini di laman sendiri pada Isnin.

Kemenangan ke atas Cameroon bulan lalu mencetuskan sambutan besar-besaran di seluruh kepulauan itu, dan keceriaan sama dijangka berulang sekiranya Cape Verde berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia buat pertama kali dalam sejarah mereka.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE