KUALA LUMPUR, 8 Oktober - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti kemungkinan menyerahkan penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi musim akan datang, sebagai langkah memperkukuh nilai komersial dan pelancongan sukan negara.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata penstrukturan semula itu mampu memperluas promosi Malaysia di peringkat antarabangsa melalui sukan berbasikal, selaras dengan peranan MOTAC sebagai peneraju utama sektor pelancongan negara.
“Kita sedang selaraskan sama ada LTdL lebih sesuai di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) yang fokus kepada sukan elit dan prestasi tinggi, atau di bawah Tourism Malaysia yang lebih kepada aspek promosi. Perbincangan dengan Menteri MOTAC juga sedang berjalan, dan beliau menyokong kerana LTdL disiarkan ke negara-negara Eropah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Kem Final Klinik Liga Sepak Takraw (STL) 2025 di Akademi Sepak Takraw Malaysia, hari ini.
Menurut Hannah, sekiranya LTdL diletakkan bawah MOTAC, KBS tetap akan terlibat dari segi koordinasi dan sokongan kewangan bagi memastikan kesinambungan kejayaan penganjuran yang telah dibina selama ini.
Dalam pada itu, Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengekalkan status ProSeries untuk LTdL bagi tempoh 2026 hingga 2028, sekali gus mengiktiraf Malaysia sebagai antara penganjur terbaik jelajah berbasikal di Asia.
Bagaimanapun, Naib Presiden UCI, Datuk Amarjit Singh, berkata keputusan rasmi mengenai penganjur LTdL 2026 akan diumumkan selepas perbincangan lanjut bersama pihak berkaitan.