fb fb fb fb fb

Hannah minta beri ruang kepada FAM selesaikan proses rayuan FIFA

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika ditemu bual pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kem Final Klinik STL 2025 di Stadium Raja Muda Kuala Lumpur hari ini / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Oktober - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, meminta semua pihak memberi ruang kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyelesaikan proses rayuan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung hukuman terhadap tujuh pemain warisan Harimau Malaya sebelum menubuhkan suruhanjaya siasatan bebas.

Beliau menegaskan, proses rayuan perlu diselesaikan terlebih dahulu bagi memastikan setiap tindakan selepas ini dibuat berpandukan maklumat lengkap dan mematuhi prosedur undang-undang antarabangsa.

“Kita kena ikut peringkat. Lengkapkan dulu proses rayuan. Bila selesai, barulah boleh pertimbang untuk siasatan atau penambahbaikan. Kalau rayuan belum habis tapi siasatan dah mula, itu langkah melangkau,” katanya.

Hannah turut memaklumkan, setakat ini Kementerian Belia dan Sukan (KBS) belum menerima sebarang permohonan bantuan daripada FAM termasuk dari segi khidmat guaman, memandangkan FAM mempunyai pasukan peguam berpengalaman dalam urusan dengan FIFA.

Katanya, kementerian sentiasa memantau perkembangan isu tersebut namun menghormati proses perundangan di peringkat antarabangsa.

Isu itu tercetus selepas FIFA mengenakan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan negara atas dakwaan pemalsuan dokumen asal pendaftaran pemain. Dalam keputusan bertarikh 6 Oktober 2025, FAM didenda CHF350,000 (RM1.8 juta), manakala setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (RM10,000) serta digantung 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak.

FAM sebelum ini memaklumkan akan mengemukakan rayuan rasmi kepada FIFA dalam masa terdekat dengan semua dokumen dan bukti sokongan telah disiapkan sepenuhnya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE