KUALA LUMPUR, 23 Disember - Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berharap kerajaan mempertimbangkan peruntukan sekurang-kurangnya RM20 juta bagi memperkasa pembangunan sukan para negara secara lebih menyeluruh.
Beliau berkata pencapaian atlet para negara pada Temasya Sukan Remaja Para Asia (AYPG) 2025 di Dubai, menyaksikan Malaysia meraih 14 pingat emas, membuktikan hala tuju pembangunan sukan para berada di landasan tepat dan wajar disokong dengan peruntukan yang lebih mampan.
Menurutnya, kejayaan itu dicapai meskipun sebahagian atlet berada di luar program berprestasi tinggi, selain berdepan kekangan dana apabila peruntukan sedia ada dikurangkan daripada RM12 juta kepada RM10 juta, sekali gus menjejaskan perancangan latihan serta pembangunan jangka panjang..
"Dengan dana terhad, kita masih mampu menamatkan saingan di kedudukan kesembilan Asia daripada 35 negara bertanding. Bayangkan potensi sebenar atlet para negara sekiranya peruntukan dinaikkan kepada RM20 juta, selaras dengan merit dan prestasi yang ditunjukkan," katanya ketika ditemui selepas majlis Penyerahan Insentif Kemenangan AYPG 2025, Dubai di ibu negara.
Tambah beliau, tambahan dana amat penting bagi memastikan kesinambungan pembangunan bakat muda, pengukuhan program pelapis serta persiapan lebih rapi menjelang Sukan Para ASEAN (APG) di Korat, selain sasaran jangka panjang ke temasya utama akan datang.
Katanya, permohonan peningkatan peruntukan itu bukan bersifat tuntutan semata-mata, sebaliknya berasaskan akauntabiliti, data prestasi dan pencapaian pingat sebagai petunjuk utama, selaras dengan amalan sukan berprestasi tinggi di peringkat antarabangsa.
Terdahulu, kontinjen negara membawa pulang 39 pingat keseluruhan pada AYPG 2025, merangkumi 14 emas, 12 perak dan 13 gangsa pada temasya yang berlangsung dari 7 hingga 14 Disember di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Susulan kejayaan itu, semua pemenang pingat menerima insentif kemenangan berjumlah RM300,000.
Sementara itu, perenang remaja para, Elysha Cheong Hui Yin muncul sebagai penerima insentif tertinggi berjumlah RM32,000 selepas meraih empat emas dalam acara S10 (kecacatan fizikal) gaya bebas 100 dan 400 meter (m), 100m kuak dada dan kupu-kupu serta satu gangsa dalam acara 200m rampaian individu.
Elysha menyifatkan kejayaan itu sebagai pencapaian di luar jangkaan apabila turut berjaya memperbaharui rekod peribadi dalam setiap acara yang disertainya.
“Saya berjaya mencatatkan masa yang lebih baik. Mungkin persiapan latihan tidak mencukupi, namun saya sangat berbangga kerana ini merupakan penyertaan pertama saya dalam kejohanan antarabangsa. Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati,” katanya.