fb fb fb fb fb

Isak berehat dua bulan, Slot kecam terjahan ‘melulu’ Van de Ven

Foto AFP

LIVERPOOL, 23 Disember - Penyerang Liverpool, Alexander Isak dijangka berehat selama dua bulan selepas mengalami patah tulang kaki akibat terjahan pemain Tottenham, Micky van de Ven, dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Sabtu lalu.

Pengurus Liverpool, Arne Slot menyifatkan terjahan tersebut sebagai “melulu” selepas Isak cedera ketika menjaringkan gol pembukaan dalam kemenangan 2-1 ke atas Tottenham.

Liverpool dalam satu kenyataan memaklumkan Isak menjalani pembedahan kecederaan buku lali yang turut melibatkan patah tulang fibula.

“Ia akan menjadi kecederaan jangka panjang, sekitar beberapa bulan. Ia satu kekecewaan besar untuknya dan juga untuk kami,” kata Slot kepada media pada Selasa.

“Saya telah bercakap banyak tentang terjahan Xavi Simons (yang dibuang padang lebih awal untuk Spurs), yang pada pandangan saya tidak disengajakan dan jarang menyebabkan kecederaan.

“Namun terjahan Van de Ven, jika dilakukan 10 kali, saya fikir 10 kali juga ada risiko besar pemain mengalami kecederaan serius,” katanya.

Kehilangan Isak menambah masalah barisan serangan Liverpool apabila Mohamed Salah kini beraksi di Piala Negara-Negara Afrika, manakala Cody Gakpo masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan otot.

Situasi itu menyaksikan Slot kini bergantung kepada Hugo Ekitike dan Federico Chiesa sebagai pilihan utama di jentera serangan.

Kecederaan Isak turut mencetuskan spekulasi Liverpool akan memperkuatkan serangan pada jendela perpindahan Januari.-AFP

AZRUL FAIZAL JUSOH