RABAT, 23 Disember - Kapten Algeria, Riyad Mahrez, yakin pasukannya mampu menebus prestasi hambar pada dua edisi terakhir Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) ketika juara 2019 itu bersiap memulakan kempen mereka di Maghribi, Rabu ini.
Pasukan "Serigala Gurun" itu meraih gelaran AFCON kedua mereka enam tahun lalu di Mesir, tetapi gagal mempertahankan gelaran itu di Cameroon apabila tersingkir di pusingan pertama dengan hanya satu mata.
Mereka turut gagal menang dalam peringkat kumpulan di Ivory Coast pada 2024.
“Tidak dapat dinafikan kami tidak berprestasi baik pada dua AFCON terakhir, tetapi itu adalah sejarah. Semua itu sudah berlalu.
“Sekarang, kami ada peluang seumur hidup untuk menebus kesilapan lalu dan beraksi lebih baik. Esok adalah masa untuk generasi ini,” kata Mahrez pada Selasa di Rabat, lokasi pertembungan Algeria menentang Sudan pada Rabu.
Algeria mensasarkan prestasi terbaik sesuai status mereka sebagai pasukan keempat terbaik Afrika mengikut ranking FIFA.
Penampilan mantap di Maghribi juga penting sebagai persediaan ke Piala Dunia di Amerika Utara enam bulan lagi, selepas Algeria layak untuk kali pertama sejak 2014.
Bekas pemain sayap Manchester City itu, kini beraksi bersama Al-Ahli di Liga Pro Arab Saudi, akan menyambut ulang tahun ke-35 pada Februari menjangkakan AFCON ini mungkin menjadi kemuncak karier antarabangsanya.
Mahrez turut memuji generasi baharu Algeria termasuk penyerang VfL Wolfsburg, Mohamed Amoura, dan penjaga gol Luca Zidane, anak legenda Perancis, Zinedine Zidane.
Luca kini beraksi untuk Granada di Divisyen Kedua Sepanyol, membuat debut antarabangsa bersama Algeria pada Oktober lalu dan dijangka mengisi posisi kritikal bagi pasukan.
Selepas pertemuan dengan Sudan, Algeria akan berdepan Burkina Faso dan Guinea dalam Kumpulan E.-AFP