KUALA LUMPUR, 24 Disember - Selangor FC mencatat kemenangan ke atas PDRM 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi (23 Disember).
The Red Giants bermula garang dan menguasai permainan awal sebelum membuka jaringan menerusi tandukan tepat Chrigor Moraes hasil umpanan Faisal Halim pada minit-21 untuk mendahului 1-0 pada babak pertama.
Selangor FC terus mengasak The Cops namun beberapa peluang gagal disempurnakan. Bersambung babak kedua, Moraes sekali lagi memanfaatkan peluang pada minit ke-49 untuk gol kedua Selangor menerusi hantaran Alvin Fortes.
PDRM merapatkan jurang empat minit kemudian menerusi Fakhrul Azim, namun Noor Al-Rawabdeh memastikan kemenangan Selangor dengan gol ketiga pada minit ke-67.
Ketua Jurulatih The Red Giants, Christophe Gamel menyifatkan perlawanan itu cukup baik namun agak kecewa dengan beberapa peluang yang gagal dimanfaatkan anak buahnya.
"Kami mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol, tetapi gagal memanfaatkannya. Perkara ini boleh memberi kesan jika perbezaan gol menjadi penentu nanti.
"Walaupun begitu, prestasi keseluruhan pasukan adalah baik. Kami akan terus memperbaiki kelemahan dan bekerja lebih keras. Selangor kekal sebagai pasukan yang merendah diri dan akan terus bekerja keras," katanya.
Sementara itu pengendali PDRM FC, Eddy Gapil memuji semangat juang anak buahnya bertahan dengan asakan pasukan lawan sehingga ke wisel penamat.
Perjuangan yang ditampilkan oleh pasukan sepanjang 90 minit perlawanan malam ini cukup memuaskan hati saya. Walaupun keputusan tidak memihak kepada kami, namun prestasi dan komitmen yang ditunjukkan pemain amat membanggakan," katanya.