MAGHRIBI, 24 Disember - Penyerang Senegal, Nicolas Jackson, meledak dua gol untuk membantu pasukannya memulakan kempen Piala Negara-Negara Afrika 2025 dengan kemenangan selesa 3-0 ke atas Botswana dalam saingan Kumpulan D di Tangier pada Selasa.
Jackson membuka jaringan pada minit ke-40 hasil hantaran Ismail Jakobs, menewaskan pertahanan Botswana, sebelum menambah gol kedua selepas menerima hantaran Ismaila Sarr menjelang minit ke-60.
Juara Piala Negara-Negara Afrika 2021 itu terus menekan dengan serangan bertali arus dan menambah gol ketiga lewat permainan melalui Cherif Ndiaye, salah seorang daripada 28 percubaan ke arah gawang Botswana.
Jurulatih Senegal, Pape Thiaw, menyifatkan kemenangan 3-0 ke atas Botswana dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D Piala Negara-Negara Afrika 2025 sebagai satu permulaan yang memuaskan.
"Pasukan bermain dengan penuh disiplin, mengikut arahan, dan berjaya melaksanakan strategi yang dirancang. Kami tahu perlawanan pertama dalam kejohanan sangat penting, dan jelas pemain-pemain ini mahukan kemenangan ini. Tahniah kepada mereka.
"Tahniah kepada Nicolas Jackson yang meledak dua gol dalam perlawanan itu. Saya juga mahu ucapkan tahniah kepada pasukan kerana mereka membantu Nico dengan baik.
"Dia memerlukan keyakinan, dan dua jaringannya akan memberi dorongan untuk baki kejohanan. Dia juga dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan, memang layak," tambah Thiaw.
Jackson pula mengakui gembira dinobat sebagai Pemain Terbaik Perlawanan dan menegaskan fokus pasukannya kini adalah perlawanan seterusnya.
"Harap banyak lagi yang akan datang, tetapi sekarang fokus kami adalah perlawanan seterusnya. Kami ada tiga hari untuk bersedia, dan kemenangan ini penting untuk memulakan kempen dengan baik," katanya.
Dengan kemenangan itu, Senegal kini mendahului Kumpulan D, sekali gus meletakkan mereka dalam kedudukan baik untuk perlawanan-perlawanan seterusnya.
Selepas pusingan pertama, Senegal mendahului Kumpulan D berdasarkan perbezaan jaringan, diikuti Republik Demokratik Congo yang menewaskan Benin 1-0 lebih awal pada Selasa.- REUTERS