fb fb fb fb fb

Kepa jadi wira, Arsenal mara ke separuh akhir Piala Liga

Foto AFP

LONDON, 24 Disember- Penjaga gol Sepanyol, Kepa Arrizabalaga, muncul sebagai wira Arsenal apabila menyelamatkan sepakan penalti penentuan untuk memastikan kemenangan 8-7 ke atas Crystal Palace dalam aksi suku akhir Piala Liga di Stadium Emirates, awal pagi tadi.

Perlawanan berakhir 1-1 selepas 90 minit dengan Arsenal mendahului pada minit ke-80 hasil jaringan sendiri pemain pertahanan Palace, Maxence Lacroix, ketika cuba mengeluarkan bola daripada sepakan sudut Bukayo Saka.

Bagaimanapun, Palace memaksa perlawanan ke penentuan penalti apabila kapten mereka, Marc Guehi, menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan, minit ke-95.

Dalam penentuan penalti, kedua-dua pasukan menyempurnakan tujuh sepakan pertama. William Saliba meletakkan Arsenal di hadapan menerusi sepakan kelapan sebelum Kepa bertindak cemerlang menyelamatkan sepakan Lacroix untuk mengesahkan kemenangan The Gunners.

Detik itu menjadi penebusan buat Kepa, yang sebelum ini pernah dikaitkan dengan kegagalan dalam penentuan penalti ketika bersama Chelsea.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta, memuji tahap komitmen pemainnya meskipun mengakui pasukannya sepatutnya menamatkan perlawanan lebih awal.

“Kami mencipta banyak peluang dan seharusnya menjaringkan lebih banyak gol. Apabila perlawanan tidak ditutup, perkara seperti ini boleh berlaku,” kata Arteta.

“Kepa menunjukkan komitmen luar biasa bersama pasukan. Pemain sangat tenang ketika penalti dan akhirnya kami berada di kedudukan yang kami mahukan.”

Kemenangan ini menyaksikan Arsenal mara ke separuh akhir Piala Liga buat musim kedua berturut-turut.

Mereka akan berdepan seteru London, Chelsea, dalam aksi dua perlawanan pada Januari dan Februari, manakala satu lagi separuh akhir menemukan Manchester City dengan juara bertahan, Newcastle United.

Arsenal kali terakhir menjuarai Piala Liga pada musim 1992-93 dan kini memburu trofi pertama sejak menjuarai Piala FA pada 2020.- AFP

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI