fb fb fb fb fb

Endrick sertai Lyon secara pinjaman

Foto AFP

LYON, 24 Disember- Bintang muda Real Madrid dari Brazil, Endrick, sah menyertai kelab Ligue 1, Olympique Lyonnais, secara pinjaman, umum kelab Perancis itu pada Selasa.

“Olympique Lyonnais berbesar hati mengalu-alukan Endrick, yang akan menyertai skuad utama bermula 29 Disember,” menurut kenyataan rasmi Lyon di laman web mereka.

Perpindahan itu berlaku kira-kira enam bulan sebelum Piala Dunia 2026 bermula, dengan penyerang berusia 19 tahun itu sedang bersaing untuk merebut tempat dalam skuad Brazil kendalian Carlo Ancelotti.

Endrick telah membuat 14 penampilan bersama skuad kebangsaan Brazil dan menjaringkan tiga gol, namun gol terakhirnya bersama Selecao hadir pada Jun tahun lalu dan dia hanya memperoleh satu kapsul sepanjang tahun 2025.

Pemain itu mencuri perhatian dunia bola sepak apabila menembusi skuad utama Palmeiras pada usia 16 tahun dan memainkan peranan penting dalam membantu kelab berpangkalan di Sao Paulo itu menjuarai Liga Brazil secara berturut-turut pada 2022 dan 2023.

Selepas genap 18 tahun pada Julai 2024, Endrick menyertai Real Madrid menerusi perpindahan bernilai sekitar €47.5 juta (AS$55.9 juta).

Namun, minit perlawanannya di Santiago Bernabeu semakin terhad musim ini di bawah pengendali baharu, Xabi Alonso, yang menggantikan Ancelotti pada musim panas lalu. Endrick hanya merekodkan tujuh gol daripada 40 penampilan dalam semua pertandingan bersama kelab gergasi Sepanyol itu.

Endrick kini menyertai Lyon secara pinjaman berbayar sehingga akhir musim, dengan nilai perjanjian antara kedua-dua kelab dilaporkan mencecah sehingga €1 juta.- AFP

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI