RABAT, 24 Disember - Penyerang Nicolas Jackson menjaringkan dua gol ketika Senegal memulakan kempen Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dengan penuh bergaya selepas menewaskan Botswana 3-0 dalam aksi Kumpulan D, awal pagi Selasa.
Senegal, juara edisi 2022 dan antara pasukan pilihan utama kejohanan, tidak berdepan masalah besar menundukkan Botswana di Stadium Ibn Battouta meskipun perlawanan berlangsung dalam keadaan hujan lebat.
Jackson meletakkan Senegal di hadapan pada minit ke-40 hasil gandingan bersama Ismail Jakobs sebelum menggandakan kelebihan sejurus selepas rehat menerusi gerakan berpasukan yang kemas.
Cherif Ndiaye melengkapkan kemenangan Lions of Teranga dengan gol ketiga pada lewat permainan.
“Kami tahu betapa pentingnya untuk memulakan kejohanan dengan baik. Para pemain menunjukkan keinginan tinggi dan bermain sangat cemerlang,” kata ketua jurulatih Senegal, Pape Thiaw.
Keputusan itu menyaksikan Senegal berkongsi tiga mata di tangga teratas kumpulan bersama Republik Demokratik Congo (DR Congo), yang mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Benin di Rabat.
Gol tunggal perlawanan dijaringkan Theo Bongonda pada minit ke-16 selepas pertahanan Benin gagal mengawal bola jauh.
Sementara itu dalam aksi Kumpulan C, Nigeria terpaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan 2-1 ke atas Tanzania di Fes.
Juara Afrika tiga kali itu mendahului menerusi tandukan Semi Ajayi pada separuh masa pertama, namun Tanzania menyamakan kedudukan sebaik separuh masa kedua bermula menerusi Charles M’Mombwa.
Nigeria kembali di hadapan hasil jaringan Ademola Lookman, Pemain Terbaik Afrika 2024, yang melepaskan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk memastikan tiga mata buat Super Eagles.
Penyerang bintang Victor Osimhen gagal memanfaatkan beberapa peluang keemasan sepanjang perlawanan.
Dalam satu lagi perlawanan, Tunisia memulakan kempen dengan kemenangan 3-1 ke atas Uganda di Stadium Olimpik Rabat. Elias Achouri muncul wira dengan dua gol, manakala Ellyes Skhiri turut mencatat nama selaku penjaring.
Uganda memperoleh gol saguhati menerusi Denis Omedi pada lewat permainan.
Saingan peringkat kumpulan akan diteruskan Sabtu ini, dengan pertemuan tumpuan menyaksikan Senegal berdepan DR Congo, manakala Nigeria bakal menentang Tunisia dalam perlawanan penting Kumpulan C.- AFP