fb fb fb fb fb

Sepak takraw negara di landasan tepat menuju sukan SEA 2027

Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun

KUALA LUMPUR, 23 Disember – Kejayaan skuad sepak takraw negara pada Sukan SEA 2025 dilihat sebagai petunjuk awal bahawa Malaysia berada di landasan tepat dalam persiapan menuju penganjuran Sukan SEA 2027.

Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun berkata, kejayaan meraih dua pingat emas, termasuk menewaskan Thailand di gelanggang sendiri, membuktikan keberkesanan perancangan jangka panjang yang disusun Majlis Sukan Negara (MSN) bersama Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM).

Menurut beliau, prestasi keseluruhan kontinjen negara yang menamatkan saingan di kedudukan keempat dengan kutipan 57 pingat emas turut menunjukkan peningkatan ketara berbanding edisi terdahulu di Kemboja.

“Pencapaian di Bangkok 2025 jauh lebih baik berbanding edisi sebelum ini apabila jumlah kutipan pingat berjaya melepasi sasaran MSN. Ia membuktikan perancangan yang dilaksanakan oleh MSN dan persatuan sukan kebangsaan telah membuahkan hasil yang baik serta konsisten.

“Ini juga memberikan petanda awal bahawa pasukan dan kontinjen negara berada di landasan yang tepat menjelang penganjuran Sukan SEA 2027, namun perancangan sedia ada perlu diteruskan dan ditambah baik bagi memastikan kejayaan program tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Bagaimanapun, Ahmad Jais menegaskan kejayaan tersebut bukan alasan untuk berasa selesa, memandangkan Vietnam kini muncul sebagai pencabar baharu selepas menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara, termasuk menewaskan regu Thailand pada peringkat separuh akhir.

Mengulas hala tuju seterusnya, beliau memaklumkan skuad sepak takraw negara kini melalui fasa transisi, dengan laporan pasca kejohanan (post-mortem) sedang disediakan bagi menilai prestasi setiap pemain sebelum perancangan baharu dirangka menjelang Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI