fb fb fb fb fb

Pickleball diperkenal dalam Kidslympic 2026

Bekas pemain beregu campuran negara, Goh Liu Ying / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Disember – Kidslympic Malaysia menjalin kerjasama strategik bersama Sports Empire Sdn Bhd menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membangunkan ekosistem sukan belia, termasuk memperkenalkan pickleball sebagai kategori sukan baharu dalam temasya Kidslympic 2026.

Pengasas Bersama Kidslympic, Goh Liu Ying berkata, kerjasama itu bukan sekadar tertumpu kepada penganjuran acara, sebaliknya bertujuan menyediakan platform yang lebih tersusun untuk kanak-kanak yang berminat dalam sukan pickleball, yang kini sedang berkembang pesat di peringkat global.

Menurut beliau, meskipun pickleball masih dianggap sukan baharu di Malaysia, ia mempunyai potensi jangka panjang dan sesuai diperkenalkan sejak usia muda kerana mudah diakses, boleh dimainkan secara santai bersama keluarga serta menawarkan laluan pembangunan ke peringkat lebih kompetitif.

“Ketika ini, semakin ramai ibu bapa menggalakkan anak-anak mereka untuk aktif bersukan kerana sukan merupakan medium yang sangat baik dalam membentuk kekuatan mental dan fizikal. Pickleball pula adalah sukan yang mudah dipelajari dan sesuai sebagai aktiviti kekeluargaan.

“Bagi kanak-kanak yang berminat untuk menceburi sukan ini secara lebih serius, Kidslympic turut menyediakan platform bagi membantu mereka mendapatkan jurulatih yang sesuai sebagai persediaan ke peringkat profesional pada masa hadapan,” katanya.

Kerjasama itu turut dilihat signifikan memandangkan Sports Empire merupakan antara pemain utama dalam pembangunan ekosistem pickleball tempatan, meliputi pengurusan gelanggang, pelaksanaan program berstruktur, penglibatan sekolah dan komuniti, serta pembangunan kejurulatihan dan laluan atlet.

Menerusi kerjasama berkenaan, Kidslympic dijangka dapat memanfaatkan kepakaran dan rangkaian Sports Empire untuk melaksanakan program pickleball berstruktur mengikut peringkat umur di seluruh negara, selain memperkukuh pembangunan bakat muda melalui bengkel praktikal dan sokongan pembangunan yang lebih sistematik ke arah peringkat kompetitif.

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI