(Nur Syaiful merangkul emas bagi acara 100m kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal) APG Hangzhou 2022/ FB MSN)
HANGZHOU, 23 Oktober- Skuad renang renang negara membuktikan kecemerlangan apabila berjaya menghadiahkan pingat emas dan gangsa acara 100 meter kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal) hari ini.
Pada aksi final di Aquatic Sports Arena, atlet renang Muhammad Nur Syaiful Zulkafli menyumbang pingat emas dengan mencatatkan satu minit 46.78 saat (s) di garisan penamat yang juga merupakan rekod baharu temasya.
Muhammad Nur Syaiful mengatasi rekod milik Nguyen Tranh Trung dari Vietnam 1:50.91s yang dilakukan pada temasya 2014 di Incheon, Korea Selatan.
Pingat perak menjadi milik perenang dari China,Yin Weng Hong dengan 1:53.29s manakala gangsa dimenangi seorang lagi atlet Malaysia Zy Lee Kher dengan masa 2:11.80s.
Ketika ditemui, atlet kelahiran Sarawak berusia 28 tahun itu berkata kejayaan diraihnya kali ini dapat menebus kekecewaannya selepas penyertaan dibatalkan dalam acara sama pada edisi Jakarta-Palembang 2018, kerana masalah teknikal.
“Untuk hari pertama ini saya tidak jangka dapat emas sebab acara ini susah. Tidak sangka dapat perbaharui rekod juga.
“Banyak lagi saya perlu perbaiki namun saya cukup gembira dapat menebus kekecewaan pada Sukan Para Asia 2018,” katanya.
(Muhammad Nur Syaiful Zulkafli)