fb fb fb fb fb

Sukan Komanwel: Skuad badminton campuran berpasukan negara buru emas di final

(Pemain badminton perseorangan utama negara, Ng Tze Yong diharap memberikan fokus sepenuhnya 
untuk meraih pingat yang terbaik untuk negara)

KUALA LUMPUR, 2 Ogos - Misi skuad negara memburu kilauan pingat Sukan Komanwel Birmingham hari ini bakal diteruskan skuad badminton campuran berpasukan yang akan berdepan India di final.

Pingat sudah dalam genggaman, cuma kesungguhan ditampilkan pemain akan menentukan emas atau perak bakal diraih skuad negara.

Bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim menuntut pemain memberikan segalanya kerana cuma India lawan sebenar buat Malaysia dalam acara berpasukan campuran.

Jelas beliau, jika beberapa perlawanan sebelum ini skuad negara kelihatan kurang diuji, pertemuan final kali ini pastinya akan menuntut komitmen 200 peratus daripada pemain.

"Perjalanan pasukan Malaysia ke final itu tidaklah ada saingan yang begitu kuat, berbanding pasukan lawan, cuma dalam semi final, apabila kita bertemu dengan England, kita memang menang mudah, kalau ikutkan dengan 3-0, cuma itu saja saingan yang sedikit kuat berbanding dengan pasukan lawan yang lain," kata beliau ketika dihubungi Berita RTM, di sini hari ini.


(Bekas jaguh badminton negara, Roslin Hashim ketika dihubungi Berita RTM)

Justeru Roslin berharap pemain berpengalaman termasuk gandingan beregu, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik serta pemain muda harapan, Ng Tze Yong memberikan fokus sepenuhnya untuk meraih pingat yang terbaik buat negara.

Malaysia tidak berdepan banyak masalah untuk mara ke final selepas bergelar juara kumpulan D dan mara ke final selepas melepasi cabaran Sri Lanka dan England pada suku dan separuh akhir.

Sementara itu, Roslin menyifatkan final ini merupakan platform terbaik buat pemain perseorangan, Tze Yong membuktikan kemampuan beliau menggalas tugas sebagai perseorangan utama negara di Sukan Komanwel.

Ia mampu menjadi motivasi terbaik kepada pemain berusia 22 tahun itu.

"Jangan ada terlalu banyak tekanan kepada diri beliau, peluang sentiasa ada, cuma hendak menentukan warna pingat, itu sahaja, itu terpulang kepada beliau dan juga pengurusan pasukan di sana yang menjaga beliau," kata Roslin.

Media Baharu