KUALA LUMPUR, 13 Mei– Malaysia meneruskan rentak cemerlang dalam acara regu Piala Asia Sepak Takraw 2025 selepas menundukkan pasukan Singapura 2-0 dalam saingan Kumpulan D, yang berlangsung di Stadium Titiwangsa.
Skuad negara menurunkan Mohammad Syahir Rosdi sebagai tekong, Farhan Adam feeder, dan Mohamad Azlan Alias sebagai striker pada set pertama.
Gandingan berkenaan berjaya menampilkan permainan kemas dengan asakan tanpa henti untuk membolehkan Malaysia menamatkan set pertama dengan keputusan 15-9.
Pada set kedua, kem negara melakukan pertukaran dengan memasukkan Muhammad Haziq Hairul Nizam sebagai tekong menggantikan Syahir,
Strategi tersebut membuahkan hasil apabila Haziq kerap kali melakukan servis 'Ace' yang menyukarkan pihak lawan sekali gus membolehkan Malaysia meraih kemenangan 15-6.
Sementara itu, jurulatih Regu Negara, Ahmad Mohd Zin, menyifatkan kemenangan terhadap Singapura sebagai petanda positif menjelang aksi terakhir kumpulan menentang Filipina pada Rabu (esok).
“Kita akan buat perbincangan bersama barisan kejurulatihan.
"Mungkin ada pemain daripada senarai simpanan akan diturunkan bagi memberi peluang dan memastikan semua pemain bersedia menghadapi peringkat suku akhir,” katanya.
Beliau turut mengakui prestasi pemain masih belum berada pada tahap maksimum.
“Kalau kita tengok, pemain belum capai tahap 100 peratus.
"Masih ada elemen dalam permainan mereka yang boleh diperbaiki. Jadi kita akan cuba perkemas aspek-aspek itu menjelang perlawanan esok,” ujarnya yang ditemui selepas perlawanan.
Kemenangan terhadap Singapura bermakna Malaysia kini mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir kejohanan selepas menumpaskan Nepal pada sebelah petang.
Skuad negara dijadual melengkapkan aksi kumpulan menentang Filipina pada tengah hari esok (Rabu), sebelum turun ke gelanggang sekali lagi untuk aksi suku akhir pada sebelah malam.