fb fb fb fb fb

Kerjasama Djokovic dan Murray berakhir

Novak Djokovic dari Serbia (kiri) dan jurulatihnya, Andy Murray (kanan), berbincang semasa sesi latihan menjelang Kejohanan Tenis Terbuka Australia di Melbourne. / Foto AFP

LONDON, 14 Mei – Kerjasama antara dua bekas seteru tenis dunia, Andy Murray dan Novak Djokovic, berakhir selepas enam bulan, umum kedua-duanya semalam.

Murray, bekas pemain nombor satu dunia dari Britain, dilantik sebagai jurulatih Djokovic pada November tahun lalu sebagai satu keputusan mengejutkan ramai peminat tenis memandangkan Murray tidak mempunyai pengalaman melatih secara profesional.

Namun, selepas beberapa keputusan kurang memberangsangkan yang dicapai oleh Djokovic sejak awal musim, termasuk tersingkir awal dalam dua kejohanan terakhir, mereka membuat keputusan untuk berpisah.

“Terima kasih kepada Novak atas peluang yang luar biasa untuk bekerja bersama, dan juga kepada pasukannya atas segala usaha sepanjang enam bulan ini.

"Saya doakan yang terbaik buat Novak untuk baki musim ini,” kata Murray dalam satu kenyataan rasmi.

Sementara itu, Djokovic pula menyatakan penghargaan terhadap komitmen dan persahabatan yang terjalin sepanjang tempoh tersebut.

“Terima kasih Andy atas segala kerja keras, keseronokan dan sokongan sepanjang enam bulan ini, sama ada di dalam atau di luar gelanggang. Saya amat menghargai peluang untuk mempereratkan lagi persahabatan kami,” katanya.

Kerjasama mereka bermula dengan baik apabila Djokovic berjaya menewaskan Carlos Alcaraz di Terbuka Australia, namun terpaksa menarik diri pada aksi separuh akhir akibat kecederaan. Sejak itu, prestasinya merosot.

Murray dan Djokovic, kedua-duanya berusia 37 tahun, pernah menjadi antara pencabar utama dalam era emas tenis dunia, dengan Murray sebelum ini menewaskan Djokovic di pentas akhir Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat 2012 dan Wimbledon 2013.

Buat masa ini, Djokovic belum mengumumkan siapa yang bakal menggantikan Murray sebagai jurulatihnya bagi menghadapi baki musim 2025.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD