KUALA LUMPUR, 13 Mei- Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menyatakan komitmen penuh terhadap cadangan untuk menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah Kejohanan Sepaktakraw Piala Dunia 2026.
Presidennya, Datuk Mohd Sumali Reduan memaklumkan pihaknya kini membuat persiapan bagi mengemukakan bidaan rasmi.
"Jadi, saya sudah maklum kepada Mr. Boonchai Lorhphipaat (Pemangku Presiden Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa-ISTAF) dan Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader untuk kita buat secara rasmi.
Ini kerana kita dapat arahan daripada YB Menteri, untuk kita jadi tuan rumah di Kuala Lumpur termasuk wanita dan juga lelaki," katanya pada sidang media PSM di sini, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyatakan hasrat untuk membida hak penganjuran kejohanan berprestij dunia itu.
Datuk Mohd Sumali turut memaklumkan pihaknya merancang untuk menjemput lebih banyak negara bagi menyertai kejohanan tersebut, seiring dengan penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026.
Sementara itu, jelas Datuk Mohd Sumali, sekiranya Malaysia dipilih sebagai tuan rumah, PSM akan memulakan persiapan lebih awal bagi memastikan kelancaran kejohanan selain membentuk pasukan negara yang kompetitif.
Ini termasuk mempertimbangkan pemilihan lokasi baharu kejohanan, selain penggunaan Stadium Tertutup Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Langkah itu bertujuan bagi memberi peluang kepada lebih ramai peminat tanah air untuk hadir menyaksikan kejohanan secara langsung.
Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Sepaktakraw Piala Dunia adalah pada tahun 2024.