fb fb fb fb fb

Sukan Para ASEAN: Datuk Abdul Latif raih emas lompat jauh

SOLO, 2 Ogos - Juara Paralimpik dua kali, Datuk Abdul Latif Romly meneruskan penguasaan di temasya tersebut apabila merangkul pingat emas dalam acara lompat jauh F20 (masalah intelektual), hari ini.

Itu juga adalah pingat emas keempat berturut-turut diraih beliau dalam penyertaan Sukan Para ASEAN.

Atlet berusia 25 tahun berasal dari Perlis itu, mempamerkan kehebatannya dengan lompatan sejauh 7.20 meter di Stadium Manahan untuk memastikan beliau membawa pulang emas dalam setiap penampilannya sejak edisi 2013 di Myanmar.

(Jaguh Paralimpik negara Datuk Abdul Latif Romly mempertahankan pingat emas
acara lompat jauh lelaki F20 
manakala rakan sepasukannya Zulkifly Abdullah
meraih perak/FOTO FACEBOOK Majlis Sukan Negara)

Walaupun jarak yang dicatatkan pagi tadi masih rendah berbanding rekod dunia 7.64 meter yang dilakukan pada Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, namun Datuk Abdul Latif masih gembira kerana ia merupakan kejohanan pertama sejak hampir setahun berehat.

Abdul Latif sebelum ini mengalami kecederaan pangkal paha ketika mempertahankan emas di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 pada September lepas.

Pingat perak acara tersebut turut menjadi milik wakil Malaysia, Zulkifly Abdullah yang mencatat lompatan sejauh 6.43 meter manakala gangsa diraih Suhairi Suhaini dari Singapura dengan catatan 5.78 meter.

Media Baharu