fb fb fb fb fb

Liga Super: Sri Pahang ikat Kedah 2-2

Foto BERNAMA

ALOR SETAR, 21 September - Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang FC sekadar berkongsi mata apabila terikat 2-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman.

Kedua-kedua pasukan terpaksa menunggu sehingga separuh masa kedua sebelum masing-masing melakarkan jaringan.

Pasukan pelawat menerusi Sergio Aguero terlebih dulu meletakkan Sri Pahang didepan pada minit ke-51 hasil percubaan leret menewaskan penjaga gol Kedah Mohd Ifwat Akmal Che Kassim.

Tersentak dengan jaringan itu, Kedah skuad kendalian Nafuzi Zain kemudian melancarkan serangan bertali arus ke kubu lawan dan hasilnya diterjemah pada minit ke-57 menerusi jaringan penyamaan Abdul Halim Shaari.

Pada minit ke-63, Kedah berada di depan menerusi apabila pemain sayap Sukhrob Nurulloev berjaya menggelecek beberapa pemain Sri Pahang sebelum merembat deras menerjah gawang Sri Pahang.

Kedah yang semakin bersemangat terus melancarkan serangan bagi menambah jaringan, namun tidak bertahan lama apabila Kpah Sherman berjaya menyamakan kedudukan buat Pahang pada minit ke-78 bagi memastikan pasukan itu membawa pulang satu mata.

Keputusan itu menyaksikan Sri Pahang menduduki tangga keenam liga dengan 11 mata.

Manakala Kedah di tangga ke-10 dengan sembilan mata selepas 10 perlawanan.- BERNAMA

Trainee2