KUCHING, 28 Mac- Sarawak mengenal pasti beberapa acara sukan yang akan dipertandingkan di negeri itu bagi temasya Sukan SEA 2027.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata antara acara yang dicadangkan ialah renang, terjun, memanah, tenpin boling dan menembak.
Menurutnya, Sarawak bersedia mengendalikan acara tersebut kerana memiliki fasiliti bertaraf tinggi yang mencukupi.
"Satu lagi yang kita mahu, kita mahu acara perasmian diadakan di Kuching, dan perkara itu telah dipersetujui," dedahnya.
Setakat ini, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menganjurkan 18 acara sukan di Kuching dan Samarahan, namun senarai penuh masih belum dimuktamadkan.
Abdul Karim berkata demikian dalam sidang media bagi penganjuran Asia Oceania Kelayakan Akhir World Junior Tennis Bawah 14 Tahun yang akan berlangsung di Kuching dari 31 Mac hingga 15 April ini.
Kejohanan antarabangsa itu bakal menyaksikan penyertaan remaja dari 18 negara, termasuk Australia, China, New Zealand dan Iran, bagi merebut empat tempat teratas untuk mara ke pusingan akhir pada Julai depan.