fb fb fb fb fb

Tewas kepada Argentina, Dorival dipecat

Jurulatih Brazil, Dorival Junior dipecat selepas pasukan itu tewas 4-1 / Foto AFP

RIO DE JANEIRO, 29 Mac-Jurulatih Brazil, Dorival Junior dipecat sebagai jurulatih Brazil susulan kekalahan memalukan 4-1 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 menentang musuh tradisi, Argentina, umum Persekutuan Bola Sepak Brazil (CBF) dalam satu kenyataan.

"Dorival Junior tidak lagi menjadi jurulatih pasukan kebangsaan Brazil.

"Pihak pengurusan mengucapkan terima kasih dan mendoakan kejayaan beliau dalam karier seterusnya," kata CBF.

Dorival, 62 tahun, mengemudi negara itu sejak Januari 2024 selepas menggantikan jurulatih sementara, Fernando Diniz.

Kekalahan besar di Buenos Aires pada hari Selasa lalu menjadi detik penentu pemecatan Dorival.

"Tiada siapa menjangka keputusan seperti ini, dan saya bertanggungjawab sepenuhnya," kata Dorival selepas perlawanan tersebut.

Sebelum ini, Dorival dilantik selepas kejayaan merangkul kejuaraan domestik bersama Flamengo dan Sao Paulo. Pelantikannya diumumkan selepas berbulan-bulan spekulasi mengenai kehadiran jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti.

Namun, beliau gagal meningkatkan prestasi Brazil dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

Pasukan Brazil, juara Piala Dunia lima kali, kini berada di tempat keempat dalam pusingan kelayakan Amerika Selatan, 10 mata di belakang Argentina yang sudah layak ke pusingan akhir.

Brazil turut ketinggalan di belakang Ecuador dan Uruguay.

Terdapat enam tempat automatik untuk pasukan dari Amerika Selatan.

Brazil akan menentang Ecuador di tempat lawan pada 4 Jun dan menerima kunjungan Paraguay pada 9 Jun dalam aksi kelayakan seterusnya.

Sementara itu,media Brazil melaporkan Ancelotti sekali lagi menjadi calon utama, selain jurulatih Portugal, Jorge Jesus (Al Hilal) dan Abel Ferreira (Palmeiras).

Namun, pada Jumaat, Ancelotti menafikan spekulasi tersebut dan menegaskan bahawa beliau akan menamatkan kontraknya di Real Madrid hingga Jun 2026, walaupun beliau mengakui mempunyai perasaan istimewa terhadap Brazil, pemain dan peminat.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD