LONDON, 30 Mac- Arsenal mengesahkan pelantikan Andrea Berta sebagai pengarah sukan baharu kelab itu pada Ahad.
Bekas pengarah sukan Atletico Madrid berusia 53 tahun itu menggantikan bekas pemain tengah Arsenal, Edu, yang meninggalkan kelab pada November lalu untuk menyertai rangkaian kelab milik ahli perniagaan Greece, Evangelos Marinakis, termasuk Nottingham Forest, Olympiakos dan Rio Ave.
Berta, yang mempunyai latar belakang dalam sektor perbankan, pernah berkhidmat bersama kelab Itali Parma dan Genoa sebelum menyertai Atletico Madrid sebagai pengarah teknikal pada 2013.
Sepanjang 12 tahun di Atletico, beliau membantu kelab meraih dua kejuaraan La Liga, Copa del Rey, Liga Europa serta Piala Super UEFA.
"Saya sangat gembira menyertai Arsenal pada saat yang begitu menarik untuk kelab ini," kata Berta.
"Saya telah mengikuti perkembangan Arsenal dengan penuh minat dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan mengagumi usaha kelab untuk kembali sebagai kuasa besar bola sepak Eropah dengan sokongan peminat yang luar biasa."
Pelantikan Berta hadir pada waktu penting dengan Arsenal dijangka menamatkan musim ini di tempat kedua Liga Perdana Inggeris buat tahun ketiga berturut-turut.
Beliau bakal berdepan tugas besar dalam memperkukuh skuad kendalian Mikel Arteta, termasuk mencari penyerang prolifik bagi merealisasikan impian Arsenal meraih kejuaraan liga pertama dalam tempoh lebih 20 tahun.
Selain itu, Berta juga perlu menyelesaikan rundingan kontrak pemain utama seperti Bukayo Saka, William Saliba, Gabriel Magalhães dan Gabriel Martinelli, yang masing-masing mempunyai baki kontrak lebih dua tahun.
"Andrea akan menjadi aset penting buat kelab ini," kata pengerusi bersama Arsenal, Josh Kroenke.
"Beliau memahami nilai serta identiti kelab dan kami yakin kehadirannya akan membantu Arsenal melangkah lebih jauh dalam usaha merebut kejuaraan utama."-AFP