MILAN, 30 Mac- Pemain tengah AC Milan, Ruben Loftus-Cheek, terpaksa diketepikan bagi perlawanan Serie A menentang Napoli selepas dikejarkan ke hospital untuk menjalani pembedahan membuang apendiks.
Dalam satu kenyataan, AC Milan memaklumkan bahawa pemain berusia 29 tahun itu mengalami sakit perut yang teruk ketika sesi latihan pasukan menjelang perlawanan di Naples.
"Hasil ujian mengesahkan dia mengalami apendisitis akut. Ruben akan menjalani pembedahan hari ini bagi membuang apendiks," menurut kenyataan kelab.
Musim ini, Loftus-Cheek bergelut dengan beberapa siri kecederaan, hanya tampil dalam 22 perlawanan di semua kejohanan buat juara Eropah tujuh kali itu.
AC Milan kini berada di tangga kesembilan Serie A, sembilan mata di belakang zon kelayakan Liga Juara-Juara selepas Bologna menewaskan Venezia 1-0 pada Sabtu.-AFP