fb fb fb fb fb

PARA SUKMA 2024: 3,000 hadirin dijangka meriahkan majlis pembukaan rasmi

Foto BERNAMA

KUCHING, 21 September - Seramai 3,000 hadirin, termasuk barisan atlet dari 15 negeri, dijadualkan menghadiri majlis pembukaan rasmi temasya Para Sukan Malaysia (Para SUKMA) 2024 yang akan berlangsung di Stadium Perpaduan, malam esok.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata majlis pembukaan rasmi tersebut akan menonjolkan konsep kepelbagaian budaya negeri ini, dengan persembahan daripada golongan kanak-kanak hingga ke peringkat dewasa.

“Tema persembahan dari anak-anak Sarawak meliputi dari segi authenticitynya serta keunikan walaupun terdiri dari pelbagai kumpulan etnik tetapi bersatu padu secara harmoni.

“Majlis pembukaan rasmi ini akan seinklusif mungkin. Kami juga akan mengadakan persembahan daripada Orang Kurang Upaya (OKU) serta anak-anak Sarawak yang berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa,” katanya selepas meninjau raptai penuh majlis pembukaan rasmi temasya sukan tersebut malam tadi.

Acara yang dijangka berlangsung dengan penuh gilang-gemilang itu akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, dan dihadiri oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, serta Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh

Sementara itu, Fatimah yang berpuas hati dengan kelancaran raptai penuh tersebut, berharap agar orang ramai akan turut memberi sokongan padu kepada golongan atlet istimewa itu seperti mana mereka pamerkan kepada barisan atlet normal yang telah berjuang pada SUKMA 2024 di Bumi Kenyalang, bulan lepas.

“Inilah peluang kita tunjukkan yang terbaik dari segi nilai beri sokongan kepada atlet OKU kita dan saya percaya ia mampu memberi inspirasi dan motivasi buat mereka untuk memberikan persembahan yang terbaik,” katanya.

Sebanyak 10 jenis sukan akan dipertandingkan dalam temasya ini, iaitu olahraga, renang, badminton, ping pong, tenpin boling, boccia, boling padang, powerlifting, memanah, dan catur, membabitkan 328 acara sehingga 28 September ini.

Seramai 1,290 atlet yang terdiri daripada 982 atlet lelaki dan 308 atlet wanita terlibat dalam temasya kali ini, dengan Sarawak akan diwakili 143 atlet lelaki dan 70 atlet wanita. - BERNAMA

Trainee2