fb fb fb fb fb

Malaysia juara Ragbi 7s Sekolah Asia

Foto Kesatuan Ragbi Malaysia

HONG KONG, 11 Ogos - Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) remaja negara mencipta sejarah manis apabila menewaskan Singapura 31-26 dalam perlawanan akhir Kejohanan Ragbi 7s Sekolah Asia di sini, sekali gus merangkul gelaran juara buat kali pertama.

Pertembungan sengit di Padang King's Park Sports Ground itu menyaksikan keputusan terikat selepas tamat masa permainan, memaksa aksi dilanjutkan ke masa tambahan.

Detik penentuan hadir penuh dramatik apabila Anas Nizam muncul wira negara dengan melakukan 'try' yang memastikan kejuaraan sulung Malaysia sejak mula menyertai kejohanan berprestij itu.

Terdahulu, Malaysia mara ke perlawanan akhir selepas menundukkan Thailand 24-5 di separuh akhir.

Skuad muda negara turut mempamerkan aksi bertenaga di peringkat kumpulan apabila menewaskan Kazakhstan 40-5 dan China 29-15 untuk muncul juara Kumpulan B.

Ketua jurulatih, Nazeer Nesharah menyifatkan kejayaan itu hasil kerjasama mantap pemain yang digabungkan dari Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dan Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP).

"So far kita melihat pasukan ini Insya-Allah ada peluang sekiranya diberikan peluang untuk pergi lebih jauh, tetapi dari segi persediaan saya rasa kita perlu lakukan lebih baik bagi menghadapi pasukan-pasukan yang lebih kuat," katanya.

Kejohanan edisi keempat itu yang lazimnya dianjurkan setiap tiga tahun tertangguh akibat pandemik COVID-19.

Sebelum ini, pencapaian terbaik Malaysia adalah naib juara edisi 2019 di Johor apabila tewas kepada Hong Kong di peringkat akhir.

MASNIZA AWANG KECHIK