fb fb fb fb fb

Terbuka India: Azeem Fahmi raih emas, Danish Iftikhar sumbang gangsa

Foto FB Olahraga Malaysia

KUALA LUMPUR, 10 Ogos- Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi dan Danish Iftikhar Muhammad Roslee menghadiahkan pingat buat negara di Kejohanan Terbuka India, apabila masing-masing meraih podium acara pecut 100 meter (m) di Bhubaneswar, hari ini.

Pada aksi berlangsung di Stadium Kalinga, Muhammad Azeem yang juga pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) menjadi individu pertama tiba di garisan penamat dengan catatan 10.35s.

Sementara itu, Danish yang juga beraksi dalam pentas akhir bersama-sama Muhammad Azeem, merekodkan 10.50s untuk berada di kedudukan ketiga.

Tempat kedua acara itu dimenangi atlet Sri Lanka, Chamod Yodhasinghe (10.43s).

Terdahulu, kedua-dua pelumba mara ke pusingan akhir selepas Muhammad Azeem menamatkan saringan kedua di tempat pertama, manakala Danish meraih tempat ketiga.- BERNAMA

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM