fb fb fb fb fb

Malaysia catat kemenangan bergaya, tewaskan Guam 2-0

Foto FB Football Association of Malaysia

KUALA LUMPUR, 11 Ogos - Skuad bola sepak wanita bawah 20 tahun (B-20) negara menutup kempen kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2026 dengan kemenangan bergaya apabila menewaskan Guam 2-0 dalam aksi terakhir Kumpulan F yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Dua gol kemenangan Malayan Tigress dijaringkan oleh pemain negara, Kaseh Carlmila Az-Zahra Mohd Ridhuwan pada minit ke-64 dan 86, sekali gus memastikan skuad kendalian Cameron Ng mengutip tiga mata sulung dalam kejohanan ini.

Walaupun gagal melayakkan diri ke Piala Asia, kemenangan tersebut menjadi penawar selepas tewas 0-3 kepada Iran pada aksi pembukaan dan dibelasah Jepun 16-0, Jumaat lalu.

Kejayaan itu meletakkan Malaysia di tangga ketiga kumpulan dengan tiga mata, manakala Jepun menjuarai kumpulan selepas mencatat kemenangan bersih dalam tiga perlawanan.

Iran di tempat kedua dengan enam mata, manakala Guam menamatkan saingan di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.

MASNIZA AWANG KECHIK