KUALA LUMPUR, 13 Mei-Skuad regu sepak takraw kebangsaan memulakan kempen Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025 dengan langkah kanan apabila mencatat kemenangan sulung 2-0 ke atas Nepal dalam aksi pembukaan Kumpulan D yang berlangsung di Stadium Titiwangsa di sini.
Pada perlawanan berkenaan, skuad negara mempamerkan aksi mantap dan konsisten dalam kedua-dua set permainan, membuktikan dominasi mereka sejak awal perlawanan.
Pada set pertama, pasukan negara dibarisi oleh Muhammad Haziq Hairul Nizam selaku tekong, Mohamad Azlan Alias dan Farhan Adam berjaya memberi tekanan kepada pasukan lawan sebelum Khairul Aman Mohd Rosdi dimasukkan menggantikan Azlan.
Malaysia menamatkan set pertama dengan kemenangan mudah 15-6.
Pada set kedua, kem negara memasukkan tekong berpengalaman, Mohammad Syahir Rosdi menggantikan Haziq.
Percaturan tersebut membuahkan hasil apabila pasukan negara menamatkan perlawanan dengan mata 15-6.
Sementara itu, jurulatih skuad regu negara, Ahmad Mohd Zin menyifatkan perlawanan menentang Nepal sebagai platform untuk mencuba pelbagai strategi di samping memberi peluang kepada semua pemain untuk beraksi
“Kalau ikutkan, ini adalah perlawanan pertama di mana kita mencuba semua strategi yang ada.
"Walaupun menentang Nepal, kita tidak menganggapnya mudah. Kita serius dalam setiap aktiviti dan peluang, termasuk mencuba situasi satu lawan satu. Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan prestasi pasukan,” katanya.
Sementara itu, pemain negara, Muhammad Haziq Hairul Nizam mengakui persembahan pasukan negara masih belum berada pada tahap terbaik.
"Sebenarnya kami belum berpuas hati sepenuhnya kerana bertemu pasukan yang dianggap kurang kuat.
"Fokus utama kami dalam perlawanan ini adalah untuk mencari rentak dan menyesuaikan diri dengan suasana gelanggang. Kami tahu perlawanan seterusnya lebih mencabar,” jelasnya.
Skuad negara bakal beraksi pada perlawanan kedua menentang Singapura malam ini.