fb fb fb fb fb

Piala Asia 2025: Hannah sandar harapan kepada berpasukan dan regu

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 13 Mei - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menaruh keyakinan bahawa skuad sepak takraw negara mampu melakar kemenangan dalam acara regu dan berpasukan pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia 2025.

Beliau menegaskan bahawa semangat juang yang ditampilkan oleh para pemain dalam acara kuadran sebelum ini wajar diteruskan dalam baki dua acara yang masih dipertandingkan.

“Kita menang ke atas Jepun untuk kuadran dan untuk double kita kalah kepada Thailand. Tapi kita ada dua lagi acara iaitu berpasukan dan regu.

“Jadi saya masih menaruh harapan bahawa atlit kita akan terus kuatkan semangat untuk lakukan yang terbaik," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Meja Bulat Program Kejurulatihan Sukan 2025 (RCSC25): Pusat Kecemerlangan ASEAN untuk Kejurulatihan Sukan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Hannah memaklumkan Institut Sukan Negara (ISN) dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Kejurulatihan Sukan (ACSC) ASEAN, secara rasmi melancarkan Konvensyen Meja Bulat mengenai Kejurulatihan Sukan 2025 (RCSC25) hari ini.

Konvensyen berkenaan berperanan penting dalam memperkukuh sistem pembangunan kejurulatihan sukan di Malaysia, selain menonjolkan kepimpinan negara dalam bidang tersebut di peringkat serantau.

“Ada tujuh negara ASEAN yang terlibat dan kita jemput pakar-pakar untuk datang bantu dan bertukar pandangan dan fikiran supaya banyak lagi maklum balas dan input yang boleh kita guna pakai untuk memperkasakan ekosistem kejurulatihan di malaysia.

Tambah Hannah, format persidangan meja bulat berkenaaan membolehkan setiap peserta terlibat secara langsung dan aktif, sekali gus menjadikan proses pembelajaran lebih berkesan.

“Persidangan meja bulat seperti ini bagus kerana bila saiznya lebih kecil membantu semua yang terlibat untuk bertanyakan soalan lebih efektiflah cara pembelajaran prosesnya”, katanya.

Bertemakan "Melatih ASEAN Ke Hadapan: Perpaduan, Struktur dan Kecemerlangan" konvensyen turut bertujuan mengharmonikan rangka kerja kejurulatihan, menggalakkan pembelajaran bersama dan mengukuhkan peranan strategik jurulatih dalam sukan berprestasi tinggi di seluruh Asia Tenggara.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD