fb fb fb fb fb

ASN: Pengiktirafan Aaron - Wooi Yik, penghormatan besar buat badminton negara

Setiausaha Agung, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh / Foto RTM

PETALING JAYA 13 Mei – Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mencipta satu lagi detik manis dalam karier mereka apabila diumumkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2024 sempena Anugerah Sukan Negara (ASN), sekali gus mengangkat martabat sukan badminton tanah air ke tahap lebih membanggakan.

Setiausaha Agung, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh berkata walaupun kedua-dua pemain tidak dapat hadir menerima anugerah tersebut kerana sedang menyertai Kejohanan Terbuka Thailand di Bangkok, penghormatan itu tetap memberi makna yang cukup besar.

Katanya, pengiktirafan tertinggi dalam dunia sukan negara itu bukan sahaja menjadi penghormatan peribadi buat Aaron dan Wooi Yik, malah menjadi simbol kejayaan berterusan buat skuad badminton negara di persada antarabangsa.

“Ini satu penghormatan yang amat tinggi kepada Aaron dan Wooi, dan juga satu penghormatan besar buat sukan badminton serta BAM sendiri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Sukan Negara 2024, di sini.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas pengiktirafan yang diberikan kepada dua jaguh negara itu.

“Bagi pihak BAM dan juga Aaron-Wooi Yik, kami ingin mengucapkan terima kasih kepada MSN dan KBS kerana memberikan pengiktirafan tertinggi ini,” tambahnya.

Menurut Kenny Goh, pencapaian itu selari dengan objektif BAM untuk melahirkan atlet berprestasi tinggi di peringkat antarabangsa, dan beliau berharap pengiktirafan tersebut menjadi suntikan semangat buat seluruh pasukan badminton negara.

“Ini memang objektif BAM untuk sentiasa mencapai keputusan cemerlang di pentas antarabangsa. Kami harap pengiktirafan ini akan menjadi dorongan bukan hanya kepada Aaron dan Wooi Yik, tetapi juga kepada semua pemain badminton negara untuk terus menyerlah,” katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN