PETALING JAYA, 13 Mei- Atlet boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah, mencipta sejarah apabila dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara 2024 sekali gus menjadi atlet pertama dari sukan itu yang menerima pengiktirafan tertinggi dalam anugerah berkenaan.
Farah Ain menyifatkan tahun 2024 sebagai tahun paling mencabar dalam karier sukan kerana ia merupakan tahun pertamanya bersama skuad kebangsaan.
"2024 adalah tahun yang sangat mencabar bagi saya. Ini tahun pertama saya dalam skuad nasional. Saya memang baru sangat lagi, jadi ini adalah anugerah paling besar bagi saya," katanya.
Farah Ain berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis Anugerah Sukan Negara 2024 di sini.
Farah Ain turut mengucapkan penghargaan kepada Presiden Persekutuan Datuk Awalan Majlis Sukan Negara (MSN) serta Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh atas sokongan berterusan terhadap atlet muda.
"Saya tidak menjangka kemenangan ini sebab saya paling muda dalam skuad. Tahun lepas sangat mencabar, banyak kejohanan yang saya sertai saya bergelut untuk kekalkan momentum," katanya.
Ketika ini Farah Ain berehat seketika kerana mengalami serangan otot di bahu kanan, dan sedang menjalani proses pemulihan sebelum kembali ke gelanggang.
"Saya ada masalah kesihatan dan kecederaan, tapi itu tak patahkan semangat saya. Sekarang saya fokus untuk rawatan dan akan kembali lebih kuat selepas ini," jelasnya.
Berkenaan perancangan masa depan, Farah Ain meletakkan sasaran untuk menyertai Kejohanan Dunia di Hong Kong dalam masa terdekat, selain menumpukan Sukan Komanwel 2026.
"Sasaran utama saya adalah Game Komanwel 2026. Jadi saya perlu terus bertanding dan bersaing dengan pemain senior serta teruskan latihan untuk dapat tempat ke sana," katanya lagi.
Menutup ucapannya Farah Ain menyatakan rasa syukur atas pengiktirafan yang diterima dan berjanji akan kembali dengan lebih kuat untuk kejohanan akan datang.