PETALING JAYA, 13 Mei – Pembangunan sukan badminton negara bukan sahaja terletak di Persatuan Badminton Malaysia (BAM), tetapi juga daripada bekas pemain dan atlet semasa.
Penekanan itu diberikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Beliau menegaskan, semua pihak berkaitan perlu memainkan peranan masing-masing dalam merangka hala tuju masa depan badminton negara.
“Setiap kali kita bercakap tentang badminton, hanya beberapa nama sering disebut.
"Tapi sebenarnya ramai yang telah dibawa masuk oleh Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (bekas Presiden BAM) melalui akademi dan jawatankuasa teknikal,” katanya dalam sidang media Anugerah Sukan Negara 2024 di sini hari ini.
Menurut Hannah, individu seperti bekas pemain beregu negara, Soo Beng Kiang yang kini membantu dalam memberikan pandangan dan maklum balas yang sangat bernilai di Kementerian Belia dan Sukan.
“Soo Beng Kiang memberi input yang sangat baik. Sudah tentu, Datuk Lee Chong Wei juga banyak membantu. Pandangan daripada bekas pemain seperti mereka amat penting,” tambahnya.
Hannah turut menyatakan bahawa industri badminton telah berubah secara signifikan berbanding masa lalu.
Sehubungan itu, maklum balas daripada pemain semasa juga sangat penting dalam memastikan dasar yang dibentuk relevan dan berkesan.
“Kita perlukan pandangan bekas dan juga pemain semasa kerana industri hari ini berbeza. Badminton dulu dan badminton hari ini tidak sama,” jelasnya.
Beliau berharap agar Presiden BAM yang baharu, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, dapat memainkan peranan lebih inklusif dalam mendapatkan pandangan daripada semua pihak berkepentingan, termasuk bekas pemain yang kini berada dalam industri sukan di luar struktur persatuan.
“Saya rasa Tengku Datuk Seri Zafrul tidak seharusnya hanya bergantung pada BAM semata-mata.
"Tetapi juga perlu berbincang dengan bekas pemain yang masih aktif dalam industri untuk memahami realiti sebenar di luar sana,” katanya.