SUBANG JAYA, 13 Mei- Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah dinasihatkan supaya tidak terburu-buru dalam membuat keputusan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bertanding secara profesional bebas.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, beliau belum berkesempatan untuk bertemu secara peribadi dengan Pearly dan Thinaah, namun memahami dilema dihadapi oleh atlet yang ingin bergerak secara bebas.
“Saya belum berjumpa dengan mereka. Seperti yang saya katakan sebelum ini, mereka perlukan masa untuk fikir dengan mendalam. Ia bukan semudah melangkah keluar dan terus dapat penaja," jelasnya.
Menurut Hannah, penajaan banyak bergantung pada kedudukan ranking, prestasi dalam kejohanan serta kejayaan dicapai.
"Sebab itu berada di bawah naungan persatuan lebih selamat kerana sumber sokongan sentiasa tersedia," katanya.
Sehubungan itu, Hannah menaruh harapan agar gandingan utama negara mempertimbangkan keputusan mereka secara matang.
Mengulas mengenai pelantikan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai Presiden BAM yang baharu, Hannah optimis bahawa kehadiran Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu akan membantu mengekalkan lebih ramai pemain di bawah naungan BAM.
“Saya rasa Tengku Datuk Seri Zafrul akan main peranan penting untuk memastikan seramai mungkin pemain kekal di bawah BAM,”ujarnya.
Beliau juga menyuarakan harapan agar Tengku Datuk Seri Zafrul membuka lebih banyak ruang kepada bekas atlet untuk menyumbang sebagai pentadbir sukan.
“Harapan saya agar beliau membuka lebih banyak peluang dan ruang kepada bekas atlet yang berkebolehan sebagai pentadbir, supaya mereka juga dapat memberi pandangan dan menyumbang kepada BAM,” kata Hannah.