PETALING JAYA, 13 Mei- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyambut baik keputusan pelantikan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Menurut Hannah, Tengku Datuk Seri Zafrul mampu membawa masuk dana besar khususnya dalam beberapa sukan yang memerlukan ekosistem kewangan yang kukuh.
"Peranan pentadbir sukan bukan semata-mata untuk tahu bermain, tetapi perlu ada kemahiran tadbir urus, struktur dan keupayaan kewangan.
"Tengku Datuk Seri Zafrul mempunyai latar belakang dalam kerajaan dan korporat. Saya yakin beliau mampu membawa dana besar kepada BAM," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 di sini.
Hannah turut mengesahkan Tengku Datuk Seri Zafrul telah mendapat pengecualian khas daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memegang jawatan tersebut, memandangkan beliau juga merupakan anggota kabinet.