KUALA LUMPUR, 13 Mei - Kejohanan Taekwondo Remaja Kebangsaan MKTA-DBKL 2025 yang julung kali dianjurkan menutup tirainya selepas berlangsung selama tiga hari bermula 9 Mei lepas.
Kejohanan yang dianjurkan bersama oleh Malaysia Kukkiwon Taekwondo Association (MKTA) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu menyaksikan penyertaan lebih 1,200 atlet remaja berusia antara 8 hingga 17 tahun dari seluruh negara.
Kelab Taekwondo Cemerlang muncul juara keseluruhan selepas menjuarai Kategori Sekolah Rendah, sekali gus membawa pulang Piala Pusingan ‘Professor Dato Dr Risya Manikam’.
Bagi Kategori Sekolah Menengah, Pro Sport Taekwondo muncul juara dengan menampilkan prestasi cemerlang.
Presiden MKTA, Grand Master Datuk Dr T. Arasu berkata kejohanan itu mencerminkan pencapaian penting dalam usaha memupuk semangat kesukanan dan mencungkil bakat muda dalam sukan taekwondo.
"Sambutan yang amat menggalakkan ini membuktikan komitmen tinggi dalam kalangan atlet muda, jurulatih dan pegawai.
“Kami berharap kejohanan ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak program pembangunan sukan di masa akan datang,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Tambah beliau, kejohanan sulung itu bertujuan memperkukuh perpaduan melalui sukan selain mengenal pasti bakat baharu untuk diserap ke dalam program pembangunan taekwondo kebangsaan.