fb fb fb fb fb

Pemilihan pemenang ASN 2024 mencabar - Hannah

Hannah Yeoh pada Anugerah Sukan Negara 2024/ BERNAMA

PETALING JAYA, 13 Mei- Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menyifatkan pemilihan pemenang pada Anugerah Sukan Negara 2024 agak mencabar susulan hampir semua pencalonan melibatkan juara dunia atau pemenang pingat antarabangsa.

"Tahun lepas merupakan tahun Olimpik, jadi semua pencalonan melibatkan atlet bertaraf dunia. Memang sukar untuk panel membuat keputusan, tetapi tahniah kepada Farah dan Boni atas kejayaan memenangi dua anugerah yang sangat berprestij untuk sukan di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 di sini.

Terdahulu beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dinobatkan Olahragawan Kebangsaan manakala atlet boling padang Nor Farah Ain Abdullah dipilih Olahragawati Kebangsaan.

Sementara itu jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin rangkul gelaran Olahragawan Paralimpik Kebangsaan dan Hasmunirah Maliki dari sukan boling padang para meraih gelaran Olahragawati Paralimpik Kebangsaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Hannah turut memaklumkan bahawa senarai akhir atlet yang akan menyertai program Road to Gold (RTG) akan dimuktamadkan pada penghujung Mei ini.

Ketika ini, sekretariat RTG sedang mengadakan sesi pertemuan dengan semua atlet terlibat bagi mendapatkan pandangan dan persetujuan masing-masing, termasuk mereka yang berada di luar negara kerana menyertai kejohanan.

"Beri ruang kepada sekretariat untuk menyelesaikan proses ini. Kita tidak mahu timbul persoalan berkenaan tiada nama atau tidak bersetuju, proses ini penting untuk ketelusan dan kesepakatan," katanya lagi.

Dalam pada itu Hannah turut menyatakan hasratnya untuk bertemu pemain badminton profesional, Lee Zii Jia, bagi mendapatkan maklum balas berkaitan pengalaman terdahulu serta keperluan pemain profesional bebas dalam program RTG.

"Saya mahu memastikan RTG bukan hanya menyokong atlet yang bersama persatuan, tetapi juga pemain profesional bebas," tambah Hannah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI