fb fb fb fb fb

Aaron-Wooi Yik muncul Olahragawan Kebangsaan 2024

Beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dinobatkan Olahragawan Kebangsaan 2024. - Foto RTM

SUBANG JAYA, 13 Mei- Beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dinobatkan Olahragawan Kebangsaan 2024.

Ia gelaran kedua diraih gandingan di ranking kelima dunia itu selepas merangkulnya pada 2022.

Aaron-Wooi Yik mengetepikan empat lagi calon iaitu perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia (badminton), Wong Weng Son (wushu), Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat) dan Abdul Latif Maxzakir (silat).

Anugerah disampaikan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024 di sebuah hotel di sini hari ini. 

Jaguh boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah pula muncul Olahragawati Kebangsaan 2024.

Atlet berusia 24 tahun itu mengatasi empat lagi calon iatu Sin Li Jane (boling), Tan Cheong Min (wushu), Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal trek) dan Nor Farah Mazlan (silat).

Lebih manis, pemain nombor satu dunia itu melakar sejarah menjadi atlet boling padang wanita negara pertama menggondol gelaran Olahragawati Kebangsaan.

Sementara itu, atlet powerlifting para negara, Bonnie Bunyau Gustin meraih gelaran Olahragawan Paralimpik Kebangsaan buat kali kedua berturut-turut.

Manakala anugerah Olahragawati Paralimpik Kebangsaan diraih atlet boling padang para, Hasmunirah Malik.

Selain itu, anugerah Tokoh Sukan dimenangi Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam, manakala Tan Sri Mohamad Norza Zakaria merangkul anugerah Kepimpinan Sukan.

Turut disampaikan anugerah Khas Sukan 2024 iaitu kepada Allahyarham Datuk Hasbullah Awang, Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia dan Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor Red Giants).

Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim dan Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim turut memperoleh anugerah Khas Sukan 2024 bagi Johor Motorsport Racing Team.

Majlis ASN 2024 diadakan bukan sahaja untuk mengiktiraf kejayaan atlet dalam arena sukan.

Tetapi turut menghargai jasa dan sumbangan luar biasa pelbagai pihak yang memajukan industri sukan tanah air daripada pelbagai aspek.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello