fb fb fb fb fb

Sukan Komanwel: Irfan Shamsuddin mara ke pusingan akhir

(FOTO BERNAMA)

BIRMINGHAM, 2 Ogos- Atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin menampilkan aksi terpuji untuk mengesahkan tempat ke pentas final pada Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Pada aksi kelayakan Kumpulan A di Stadium Alexander di sini, jaguh negara berusia 26 tahun itu merekodkan balingan sejauh 57.93 meter untuk berada di kedudukan keempat daripada lapan peserta.

Atlet Jamaica Traves Smikle menduduki tempat teratas dalam aksi Kumpulan A setelah mencatat lemparan sejauh 64.90m, diikuti Alex Rose dari Samoa di tempat kedua dengan catatan 63.20m manakala tempat ketiga adalah atlet Scotland, Nicholas Percy (60.68m).

Pada aksi kelayakan melibatkan dua kumpulan itu, hanya 12 atlet merekodkan balingan terbaik layak ke pentas final pada Khamis (4 Ogos).

Muhammad Irfan merupakan pemegang rekod kebangsaan dengan lemparan 62.55m di Austria pada 2017. Beliau juga adalah pemenang pingat perak Kejohanan Asia 2017.

Pengurus pasukan olahraga negara, M. Iyaru menyifatkan kejayaan Muhammad Irfan mara ke peringkat akhir adalah pencapaian yang membanggakan.

“Bukan mudah perlu bersaing dengan ramai jaguh dunia di sini. Saya berharap pencapaian Irfan layak ke final ini memberi beliau semangat pada Khamis ini (4 Ogos),” katanya. -BERNAMA


(Atlet lempar cakera negara Muhammad Irfan Shamsuddin melakukan lontaran
ketika beraksi pada pusingan kelayakan lempar cakera lelaki semasa
Sukan Komanwel Birmingham 2022 di Stadium Alexander / BERNAMA)

Media Baharu