MARAN, 26 Ogos - Sukan Warga Felda dan kejohanan bola sepak Piala Pengerusi Felda mampu menjadi medan pendedahan dan menggilap bakat warga peneroka di seluruh negara untuk melangkah lebih jauh dalam bidang sukan.
Pengerusi Felda, Tan Sri Idris Jusoh berkata penganjuran dua karnival sukan yang disertai 12 kontinjen melibatkan 1,500 peserta itu juga bertujuan mengeratkan silaturahim dan semangat permuafakatan warganya.
"Karnival sukan ini tidak hanya disertai oleh golongan peneroka dan penerokawati, bahkan juga generasi baharu dan petugas Felda serta kakitangan syarikat kumpulan termasuk FGV yang berkumpul untuk bertanding dengan penuh semangat kesukanan dan kehormanian.
(FOTO Facebook FELDA Wilayah Jengka )
"Saya dapat lihat karnival sukan ini amat dinantikan kerana menjadi tempat mencungkil bakat baharu sukan dalam kalangan warganya selain di sinilah mereka dapat berkenalan dan bermuafakat apabila peserta dari seluruh negara berkumpul," katanya semasa berucap merasmikan Sukan Warga Felda dan Piala Pengerusi Felda di Stadium Tun Razak di sini malam tadi.
Turut hadir, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib dan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said.
Idris berkata pihaknya turut berharap Sukan Warga Felda yang dianjurkan sejak 2005 itu dapat diteruskan sebagai acara tahunan kerana karnival sukan itu mampu membawa kemeriahan dan merancakkan ekonomi warga Felda setempat.
Sukan Warga Felda yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, melibatkan 10 acara sukan seperti futsal, bola jaring, bola tampar, sepak takraw, badminton, petanque, e-sukan iaitu PUBG dan FIFA serta golf.
Terdahulu, skuad bola sepak Wilayah Jengka muncul juara Piala Pengerusi Felda 2022 apabila menumpaskan Wilayah Kuantan dengan jaringan 1-0 pada aksi final di stadium itu, menerusi pemainnya Muhammad Amirul Safri pada minit ke-92.
Dengan kemenangan itu, Wilayah Jengka membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan piala pusingan manakala Wilayah Kuantan sebagai naib johan menerima hadiah RM8,000.
Tempat ketiga yang dihuni Wilayah Trolak membawa pulang RM5,000 diikuti Wilayah Terengganu menerima RM3,000 di tempat keempat. - BERNAMA