KUANTAN, 3 Ogos- Padang rumput semula jadi pertama negara yang diiktiraf Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) di Stadium Darul Makmur, Kuantan Pahang kini dibuka untuk kegunaan orang ramai.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata stadium itu kini bersedia sepenuhnya menjadi tuan rumah acara sukan bertaraf antarabangsa.
Tambahnya, fasiliti itu menerima penarafan ‘Excellent’ dengan markah keseluruhan 93 peratus oleh FIFA sekali gus menjadi antara destinasi utama bagi kalendar sukan negara dan serantau.
“Dengan adanya padang baharu bermutu tinggi ini, kita dapat melahirkan atlet dan pemain bola sepak berkualiti, bukan sahaja sebagai hero di peringkat negeri tetapi juga kebangsaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan padang Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang hari ini.
Jelasnya, kerajaan negeri komited memasyarakatkan stadium itu sebagai pusat interaksi sosial, sukan komuniti dan aktiviti riadah keluarga, selain menyeru jabatan, agensi serta pihak swasta bersama menggerakkan pembangunan sukan negeri.
Di samping itu, melahirkan lebih ramai atlet berkualiti disamping mengangkat nama Pahang ke peringkat lebih tinggi.
Sebelum ini, padang berkenaan dinaik taraf pada September 2024 dengan peruntukan RM1.6 juta, melibatkan RM1.1 juta daripada kerajaan negeri dan RM500,000 daripada kerajaan Persekutuan.
Dalam majlis sama, kerajaan negeri turut menyampaikan insentif kepada bekas atlet Pahang sebagai penghargaan atas jasa mereka mengharumkan nama negara.