fb fb fb fb fb

Elvis tersingkir di Kejohanan Akuatik Dunia 2025

Foto BERNAMA

SINGAPURA, 3 Ogos- Penerjun negara Elvis Priestly Clement menamatkan kempen Kejohanan Akuatik Dunia 2025 pada kedudukan ke-16 dalam acara separuh akhir 10 meter (m) platform lelaki hari ini.

Anak kelahiran Sarawak itu mengumpul 399.80 mata selepas enam terjunan di Pusat Akuatik OCBC pada hari terakhir kejohanan, namun gagal melayakkan diri ke pusingan akhir yang berlangsung pada sebelah petang.

Hanya 12 peserta terbaik daripada 18 peserta separuh akhir layak ke pusingan akhir.

Atlet berusia 18 tahun itu mara ke separuh akhir selepas menduduki tempat ke-10 daripada 48 peserta dengan 432.90 mata dalam pusingan awal semalam.

Dalam penampilan sulungnya di kejohanan dunia di Singapura itu, Elvis turut menyertai acara campuran 3m & 10m berpasukan, 10m seirama campuran, serta 10m seirama lelaki.

Sementara itu, perenang kebangsaan Tan Khai Xin gagal mara ke pusingan akhir acara 400m medley lelaki selepas mencatat kedudukan ke-29 keseluruhan dalam saringan.

Atlet berusia 20 tahun itu hanya mencatat masa 4 minit 30.90 saat di Arena Kejohanan Akuatik Dunia, berbanding rekod kebangsaan miliknya sendiri iaitu 4:23.24.

Kejohanan Akuatik Dunia 2025 melabuhkan tirainya hari ini, menandakan tamatnya 24 hari pertandingan merangkumi polo air, terjun, terjun tinggi, renang, renang artistik dan renang perairan terbuka. -BERNAMA

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello