fb fb fb fb fb

SUKMA 2026: Senarai akhir pemain bola tampar Selangor akan dimuktamadkan

Foto RTM

KLANG, 3 Ogos- Senarai akhir pemain bola tampar lelaki dan wanita, termasuk bagi acara bola tampar pantai dan bola tampar tertutup (indoor), yang akan mewakili Selangor pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 akan dimuktamadkan dua bulan sebelum kejohanan itu bermula.

Penolong Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Tampar Selangor (SVA), Junaidi Jahaya, berkata senarai panjang pemain telahpun disediakan seawal latihan bermula, dan proses pemilihan masih berlangsung.

Langkah ini diambil bagi memberi peluang kepada semua pemain berpotensi untuk menunjukkan kebolehan dan kemahiran masing-masing sebelum disenaraikan secara rasmi.

"Kita sudah mempunyai senarai panjang pemain, namun senarai tersebut masih belum disenarai pendek.

"Mengikut perancangan persatuan, proses menyenarai pendek akan dilakukan dua bulan sebelum SUKMA berlangsung bagi memberi peluang kepada pemain-pemain berpotensi untuk menunjukkan kemahiran mereka dan seterusnya dipilih mewakili Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada saingan akhir Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 16 Tahun Wanita Kategori Sekolah Selangor 2025 di sini, hari ini.

Tambah beliau, pihak SVA bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah memulakan latihan sejak bulan Mei lalu bagi memastikan kesemua pemain berada pada tahap kecergasan dan teknik yang optimum.

Perlawanan persahabatan juga akan diadakan dengan negeri-negeri lain bagi memastikan pasukan bola tampar Selangor mendapat pengalaman yang baik menjelang SUKMA 2026 nanti.

Beliau turut memaklumkan SVA meletakkan sasaran untuk memenangi pingat emas dalam kedua-dua kategori lelaki dan wanita kerana pemain akan bermain di gelanggang sendiri.

"Pada tahun lepas, dalam kategori lelaki kita memenangi pingat emas, manakala dalam kategori wanita kita hanya meraih pingat perak di Sarawak. Bagi pihak persatuan pula, Selangor akan menjadi tuan rumah pada tahun depan.

"Jadi kita menetapkan sasaran untuk memenangi pingat emas dalam kedua-dua kategori tersebut. Ini kerana kita masih mempunyai enam pemain yang layak bertanding dalam SUKMA tahun depan dan telah memenangi pingat emas pada edisi Sarawak 2024," katanya.

Mengulas mengenai Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 16 Tahun Wanita Kategori Sekolah Selangor 2025, Junaidi menyifatkan kejohanan ini sebagai peluang terbaik untuk pemain-pemain muda menyertai pelbagai acara dan pertandingan di peringkat negeri.

Dengan pengalaman ini, mereka dapat mengasah kemahiran serta bersedia menghadapi cabaran yang lebih besar di peringkat lebih tinggi.

Terdahulu, pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara 3 muncul juara dalam kejohanan itu.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello