fb fb fb fb fb

Liga A1 Semi Pro: KDA FC mula langkah kanan

Foto KDA FC

JITRA, 3 Ogos- Kedah Darul Aman (KDA FC) memulakan saingan Liga A1 Semi Pro 2025/2026 dengan langkah kanan selepas menang tipis 1-0 ke atas Machan FC dalam aksi di Stadium Mini MPKP, di sini, petang tadi.

KDA FC yang dibarisi keseluruhan pemain tempatan tampil dengan semangat baru untuk melakar kemenangan di laman sendiri.

Ketua pasukan, Mohamad Zamri Pin Ramli menceriakan penyokong Hijau Kuning dengan menjaringkan gol pertama tuan rumah, seawal minit kelima.

Gol tersebut nyata membangkitkan semangat para pemain Hijau Kuning yang kerap melancarkan serangan ke kubu pelawat.

Bagaimanapun ketumpulan jentera serangan menyebabkan tiada tambahan gol terhasil dan kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan.

Kemenangan tersebut meletakkan KDA FC di kedudukan kedua kumpulan dengan tiga mata, hanya dibezakan dengan jumlah jaringan berbanding pendahulu, Armed Force FC yang melakar kemenangan bergaya 4-0 ke atas Bunga Raya FC.

Biarpun sekadar kemenangan tipis, namun tiga mata yang diraih pada perlawanan pertama itu pastinya menjadi momentum terbaik dan membakar semangat buat anak-anak buah Azzmi Azmi untuk terus bangkit melakar kejayaan demi kejayaan dalam saingan Liga A1 Semi Pro 2025/2026.

Perlawanan turut disaksikan Pemilik Majoriti KDA FC, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar bersama kira-kira 500 penyokong setia Hijau Kuning.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello