SHAH ALAM, 4 Ogos – Kejohanan seni tempur kini bukan lagi sekadar pertarungan fizikal di dalam gelanggang, sebaliknya menjadi wadah penting menyampaikan mesej sosial, khususnya dalam membanteras budaya buli dalam kalangan remaja.
Bertempat di Shah Alam, kejohanan seni bela diri campuran (MMA) bertaraf antarabangsa Super 8 anjuran United Lair of Arts 2025 membuka tirainya secara rasmi semalam.
Acara tersebut mendapat sokongan menerusi kempen sosial “Bully Proof” yang dijalankan bersama Persatuan Kesedaran & Sokongan Penyakit Mental (MIASA), dengan fokus kepada kesihatan mental dan keselamatan emosi, terutama remaja yang pernah menjadi mangsa buli.
Kejohanan itu menghimpunkan lapan petarung terbaik dari dalam dan luar negara termasuk Dagestan, Afghanistan, United Kingdom, Brunei dan Thailand.
Ia akan berlangsung dalam tiga pusingan utama – suku akhir pada Ogos, separuh akhir pada September, dan pusingan akhir dijadualkan Oktober depan.
Selain pertarungan utama MMA, kejohanan tersebut turut menampilkan lima perlawanan tinju amatur dan lapan pertarungan Muay Thai pada setiap pusingan, sekali gus membuka ruang buat bakat tempatan menyerlah di pentas profesional.
Datuk Aaron Mustapha Aziz
Menurut penganjur kejohanan, Datuk Aaron Mustapha Aziz, inisiatif itu bukan bertujuan menggalakkan keganasan, sebaliknya memberikan sokongan kepada mangsa buli agar tahu cara membela diri secara bijak.
“Saya sebagai seorang ayah, memang pernah turun padang berjumpa dengan guru-guru untuk membela anak-anak yang dibuli. Ini bukan tentang mengajar mereka bertumbuk, tapi untuk memberi mereka keyakinan bahawa ada cara mempertahankan diri. No.1 lari, No.2 lari, No.3 lari. Tapi jika benar-benar tidak dapat dielakkan, mereka perlu tahu membela diri dengan betul,” katanya.
Kempen “Bully Proof” yang mengiringi kejohanan itu turut mendapat perhatian dan sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sekali gus mengangkat inisiatif tersebut ke tahap nasional.
“Kami pergi ke KBS untuk memohon sokongan, dan Alhamdulillah, sambutannya sangat positif. Malah, Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh baru-baru ini menyatakan bahawa sukan tempur boleh digunakan sebagai alat menentang buli. Itu memberi kami lebih semangat, kerana matlamat kami ialah untuk menyebarkan nilai positif, bukan keganasan,” ujar beliau.
Juara keseluruhan bakal membawa pulang hadiah wang tunai, sebuah motosikal elektrik serta dilantik sebagai duta rasmi kejohanan – menjadikan kemenangan itu bukan sekadar prestasi fizikal, malah simbol kepada perubahan dan kebangkitan dari pengalaman silam.