fb fb fb fb fb

The Red Devils laung amaran awal

Bruno Fernandes percaya United akan kembali pada prestasi terbaik pada saingan liga musim ini. Foto AFP

WASHINGTON, 4 Ogos - Manchester United merangkul trofi Siri Jelajah Musim Panas Liga Perdana Inggeris selepas mengikat Everton 2-2.

Dalam perlawanan itu, pemain tengah Bruno Fernandes meletakkan The Red Devils dihadapan menerusi sepakan penalti pada minit ke-19.

Penyerang Everton, Iliman Ndiaye kemudiannya bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-40 hasil hantaran Idrissa Gana Gueye.

Penyerang Mason Mount kembali meletakkan United dihadapan selepas menerima umpanan Fernandes pada minit ke-69.

Tersentak dengan jaringan itu, Everton terus melakukan serangan bertali arus hingga berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan sendiri pemain pertahanan, Ayden Heaven pada minit ke-75.

United disahkan sebagai pemenang selepas meraih tujuh mata dalam aksi yang turut disertai West Ham United dan Bournemouth.

Dalam dua perlawanan sebelum ini, skuad bimbingan Ruben Amorim itu mencatatkan dua kemenangan masing-masing menewaskan West Ham 2-1 dan Bournemouth 4-1.

Menurut Fernandes yang juga ketua pasukan United, The Red Devils kini sedang mengalami fasa peningkatan.

"Kami perlukan lebih banyak persaingan untuk pemain sedia ada. Kami perlukan lebih banyak kualiti supaya semua orang berusaha lebih keras untuk berada dalam kesebelasan utama.

"Budaya kelab ini ialah menang. Ia pernah wujud dan kami perlu mengembalikannya semula," katanya.

Pada musim lepas, United menamatkan saingan liga di tangga ke-15 dengan hanya 11 kemenangan dan sembilan seri.

Menjadi pencapaian paling buruk pernah dicatatkan kelab gergasi itu sejak tersingkir dari liga utama pada musim 1973/74.

<<AFP>>

JALALUDDIN BIN BAHARIN