fb fb fb fb fb

Terbuka Macau: Gandingan Wan Arif-Roy King muncul juara

Beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King. -Foto FB BAM

KUALA LUMPUR, 3 Ogos- Beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King mengesahkan kejuaraan Terbuka Macau 2025 selepas menewaskan pasangan Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.

Dalam perlawanan akhir di Macau East Asian Games Dome, Wan Arif-Roy King menang dengan keputusan 22-20, 21-18, sekali gus merangkul gelaran Jelajah Dunia BWF pertama mereka.

Gandingan di ranking ke-24 dunia itu menampilkan aksi penuh bertenaga dan meyakinkan untuk menumpaskan pasangan nombor lapan dunia dalam pertembungan selama 80 minit.

Ia adalah misi membalas dendam buat Wan Arif-Roy King selepas tewas tipis kepada pasangan sama dari Indonesia itu pada perlawanan akhir Masters Sepanyol tahun lalu.

Kemenangan itu adalah dorongan terbaik untuk Wan Arif- Roy King sebelum mereka membuat penampilan sulung dalam Kejohanan Dunia di Paris, dari 25 hingga 31 Ogos.

Sebagai juara, Wan Arif-Roy King membawa pulang hadiah wang tunai AS$29,230 (RM125,018) manakala Sabar-Moh Reza menerima AS$14,060 (RM60,135) selaku naib juara.

Sementara itu, beregu campuran profesional negara, Jimmy Wong-Lai Pei Jing muncul naib juara Terbuka Macau selepas tewas pada perlawanan akhir.

Gandingan negara itu kecundang di tangan pasangan Denmark, Mathias Christiansen-Alexandra Boje 13-21, 16-21 dalam tempoh 45 minit.

Walaupun gagal dalam misi merangkul gelaran sulung Jelajah Dunia BWF, namun pencapaian mara ke saingan akhir kejohanan bertaraf Super 300 adalah yang terbaik buat mereka.

Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh pula terpaksa berpuas hati selaku naib juara, sekali gus menangguhkan impian untuk merangkul gelaran sulung Jelajah Dunia BWF.

Pemain ranking ke-45 dunia itu akur dengan kekalahan kepada Alwi Farhan dari Indonesia 15-21, 5-21 dalam tempoh 54 minit.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello