fb fb fb fb fb

Kejohanan Boling Remaja Asia 2025, skuad negara raih tujuh emas

Pasukan boling remaja negara menutup kempen Kejohanan Boling Remaja Asia 2025 di Doha, Qatar dengan tujuh emas, menjadikan ia pencapaian terbaik negara sepanjang penyertaan di kejohanan itu

QATAR, 3 Ogos- Pasukan boling remaja negara menutup kempen Kejohanan Boling Remaja Asia 2025 di Doha, Qatar dengan tambahan dua pingat emas dan satu perak masing-masing menerusi acara masters lelaki dan wanita semalam.

Kejayaan itu menyaksikan skuad remaja membawa pulang keseluruhan tujuh emas, satu perak dan lima gangsa yang juga menjadi pencapaian terbaik negara sepanjang penyertaan di kejohanan itu.

Qurratu'ain Izdihar Pozi sekali lagi mencuri tumpuan apabila memenangi kategori masters, melengkapkan koleksi pingat emas dalam lima acara disertainya.

Atlet berusia 17 tahun itu menampilkan aksi cemerlang menewaskan rakan senegara, Adelia Nur Syazalee, 378-370 dalam aksi akhir.

Sementara itu, bagi kategori lelaki pula menyaksikan pemain negara, Aqil Faizal meraih emas kedua peribadinya selepas menewaskan Nasser Alkandari dari Kuwait, 461-404 dalam aksi akhir.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM