MONTREAL, 3 Ogos- Pemain remaja Kanada, Victoria Mboko, mencatat kejayaan terbesar dalam kariernya apabila menewaskan pilihan utama, Coco Gauff, 6-1, 6-4 pada Sabtu untuk mara ke suku akhir Terbuka Kanada.
Kemenangan pemain berusia 18 tahun itu disambut sorakan gemuruh penonton yang memenuhi arena, apabila Mboko yang tampil beraksi menerusi tiket wild card.
Mboko menyifatkan penampilan pertamanya di suku akhir kejohanan WTA 1000 sebagai “luar biasa”, apatah lagi selepas menumbangkan juara Terbuka Perancis itu.
Gauff pula bergelut dengan rentak permainan, gagal memanfaatkan lima peluang break point dan melakukan enam double fault, termasuk yang memberikan Mboko mata kemenangan selepas pukulannya tersangkut di jaring.
Walaupun kecewa, Gauff tetap memeluk Mboko di jaring sebelum beralih fokus untuk persiapan mempertahankan kejuaraan Terbuka AS bulan depan.
Mboko akan berdepan sama ada Lin Zhu dari China atau pemain Sepanyol, Jessica Bouzas Maneiro, kedua-duanya bukan pilihan, yang beraksi dalam perlawanan terakhir hari itu yang tertangguh akibat cuaca.
Terdahulu, pilihan kesembilan Elena Rybakina mengatasi Dayana Yastremska 5-7, 6-2, 7-5 untuk mara ke suku akhir dan bakal bertemu rakan senegara Yastremska, pilihan ke-24 Marta Kostyuk, yang bangkit menewaskan pemain Amerika, McCartney Kessler, 5-7, 6-3, 6-3. -REUTERS