KUCHING, 27 September - Sukan Borneo dilihat sebagai platform terbaik dalam memperkasa sukan rakyat di kepulauan itu, dengan potensi untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Dr. Ripin Lamat berkata, keunikan sukan tradisi itu mampu menjadikannya sukan utama jika diperkembangkan lebih meluas.
“Kalau ada aktiviti sebegini dibuat di luar, tidak mustahil ia boleh dikembangkan lebih jauh. Tetapi setakat ini ia hanya tertumpu di kawasan Borneo,” katanya.
Beliau turut menyatakan keyakinan Sarawak mampu muncul juara pada edisi kali ini, namun menegaskan bahawa Sukan Borneo lebih penting sebagai platform mencungkil dan mengasah bakat baharu.
Dalam perkembangan temasya, Sarawak membolot lima pingat emas dalam acara menyumpit selepas menewaskan Kalimantan Timur dalam semua kategori yang dipertandingkan.
Kejayaan itu menyaksikan pasukan kendalian Lahan Suhaili mendominasi acara menyumpit 22 meter.
“Latihan konsisten menjadi faktor kemenangan walaupun hanya beraksi menentang wilayah jiran,” kata Lahan kepada RTM.
Sehingga pukul 12 tengah hari, Sarawak terus mendahului kutipan pingat Sukan Borneo dengan 41 emas hasil sumbangan daripada acara balapan dan menyumpit.
